Input your search keywords and press Enter.

Warga Nigeria Dihukum Gantung Bunuh Siti Kharina

M Update, 04/08/2021 – Warga Nigeria, Alowonle Oluwajuwon Gilbert dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, pada Mei 2019.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhi hukuman itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Sebaik hukuman itu dibacakan, Gilbert yang hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan memakai baju dan seluar penjara berwarna putih, kelihatan tunduk dan menangis di dalam kandang tertuduh.

Pada 16 Julai 2020, seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin pada Mei 2019.

Alowonle Oluwajuwon Gilbert membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman. Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Mei 2019, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

Mayat ketua jururawat itu ditemukan terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa dan polis percaya Siti Kharina dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikalnya. – SH Online