M Update, 22/10/2021 – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan vaksin Comirnaty daripada Pfizer-BioNTech sebagai dos penggalak bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan yang lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kaedah heterologi itu diperaku oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan sistem imun badan. Katanya, sebagai permulaan, pelaksanaan pemberian dos penggalak menerusi kaedah heterologous (pemberian dos penggalak bagi jenis vaksin berlainan) untuk kumpulan umur 60 tahun ke atas yang bermula esok.
Beliau berkata, mereka yang layak akan menerima notis dalam MySejahtera atau menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS). Katanya, dos penggalak kepada individu berusia 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunization dari WHO yang bersidang pada 4 hingga 7 Oktober lalu.
“Pemberian dos penggalak secara heterologi ini secara penggunaan ‘off-label’ dan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan advers serius, selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak.
“Pemberian dos penggalak ini dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), yang bertujuan memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperoleh oleh penerima vaksin COVID-19 di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khairy berkata, pemberian dos penggalak itu akan diterajui pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera. Kaedah temu janji pemberian dos penggalak ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa. Tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat temu janji melalui sistem yang sedang dibangunkan KKM,” katanya.
Ditanya sama ada individu yang bukan berada dalam kategori yang layak boleh mendapatkan dos penggalak dengan pembayaran, Khairy berkata, buat masa ini, dos penggalak hanya akan diberikan kepada mereka yang disarankan. – BH Online