Seramai 11,557 orang pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 pusat mengundi yang dibuka pada 8 pagi esok bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.
Jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis – Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak
Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
Proses pengundian awal esok akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara live streaming menerusi Facebook SPR.
Kesemua peti undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 20 November 2021 bermula 4 petang.
Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing.