Proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mula dibuka tepat jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 739 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Proses pengundian di Dewan Serbaguna IPK Melaka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh itu berjalan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan terkawal.
Semua pengundi awal yang tiba di dewan itu akan menjalani saringan suhu badan terlebih dulu, selain petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyaring sama ada anggota polis atau pasangan mereka bergejala.
Pengundi yang melepasi kedua-dua saringan itu akan dibenarkan terus ke proses seterusnya, iaitu mengesahkan saluran masing-masing, sebelum menunggu giliran untuk mengundi.
Proses mengundi pula dijalankan dengan pematuhan SOP penjarakan fizikal, dan anggota polis serta pasangan yang selesai menunaikan tanggungjawab perlu keluar melalui pintu yang berbeza daripada pintu masuk.
Sekiranya bergejala atau memiliki suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius, pengundi akan diasingkan dalam khemah khas yang dikawal selia petugas Kemententerian Kesihatan (KKM).
Pengundi awal yang diasingkan itu akan menjalani saringan susulan oleh petugas KKM, sebelum dibenarkan mengundi di khemah berkenaan.
Sumber : BH