Input your search keywords and press Enter.

6 Sasaran Utama Pembangunan Bumiputera Dicapai Menjelang 2030

Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, meletakkan enam Sasaran Utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.

Sasaran itu antara lain Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) Perusahaan Bumiputera sebanyak 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM438 bilion.

Gaji Upah pada kadar RM5,169.12; Pendapatan Isi Rumah pada kadar RM18,402.68; Kadar Pulangan Aset Kewangan Per Kapita pada nilai RM4,495.65; Pekerja Mahir seramai 3,248,920 orang dan Pemilikan Kediaman sebanyak 4,758,469.

Sasaran itu bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan.

Bagi memastikan pemerkasaan Bumiputera dipacu sehingga peringkat global, TPB2030 akan turut meneroka potensi bidang berteknologi tinggi, iaitu Bidang Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETA) seperti Teknologi Pembinaan Moden (IBS), Angkasa dan Aeroangkasa, serta Pertahanan dan Keselamatan yang mana adalah industri perniagaan masa hadapan dan berimpak tinggi.

Demi memastikan segala perancangan ini berjaya sampai ke titik sasaran yang ditetapkan, TPB2030 juga memuatkan enamSasaran Utama (PA) yang merangkumi tindakan-tindakan proaktif dan afirmatif.

Antaranya seperti menambah baik tadbir urus dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera serta pengukuhan modal insan melalui peningkatan kapasiti dan keupayaan.

Tadbir urus TPB2030 akan membabitkan semua kementerian dengan pengukuhan struktur tadbir urus ini dilaksanakan menerusi penubuhan Majlis Kemakmuran Bersama (MKB) yang terdiri daripada menteri kabinet dan tokoh Bumiputera daripada pelbagai sektor keusahawanan, ekonomi dan pendidikan.

Dengan adanya struktur tadbir urus menyeluruh ini akan membolehkan pelaksanaan, pemantauan dan intervensi strategik dilaksanakan sepanjang 10 tahun pelaksanaan TPB2030 dalam mencapai pembangunan mampan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

TPB2030 dibentuk ketika ekonomi global diuji oleh ketidaktentuan yang tidak pernah wunud sebelum ini. Maka, program pembangunan dan inisiatifnya telah mempertimbang kebolehlenturan yang diperlukan supaya TPB2030 dapat terus meningkatkan keadaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera pada semua peringkat pendapatan walaupun berdepan dengan pelbagai halangan.

Ini akan menjadi asas pembinaan semula ekonomi sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pemulihan daripada pandemik dan seterusnya memacu pertumbuhan Bumiputera.

Pada akhirnya, TPB2030 bermatlamat untuk membina semula ekonomi menerusi pemacuan pertumbuhan Bumiputera; dengan Bumiputera bebas daripada ketidakpastian dan menjadi sebuah masyarakat yang berdaya saing, mampan dan makmur seperti yang diaspirasikan oleh Keluarga Malaysia.

Sumber : BH