Input your search keywords and press Enter.

Harga Ayam Naik Lagi??

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 07/01/2022 – Rakyat negara ini perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan golongan penternak terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import. Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.

Menurutnya, KPDNHEP akan mencari mekanisme terbaik termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menstabilkan harga di peringkat peruncit serta pemborong.

“Sekarang paras harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit, jadi semalam (Khamis) kita bincang sebab persatuan penternak mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat. Sebab itu saya panggil libat urus termasuk MAFI, Agrobank dan Kementerian Kewangan, kita mungkin boleh bantu mereka kurangkan beban kos operasi.” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada situasi sekarang harga maksimum siling ayam itu disifatkan rendah dan perlu dipertimbangkan di antara peniaga dan pengguna. Selain menjaga pengguna, kerajaan juga perlu menjaga peniaga kalau mereka tidak dapat teruskan operasi, mungkin kita tiada bekalan nanti.

“Kita seharusnya sensitif kepada itu dan saya guna peluang untuk merayu kepada semua pengguna untuk sama-sama memahami situasi ini. Bila kita sebagai pengguna nak harga murah tapi kalau di peringkat pengeluaran mereka tak dapat keluar bekalan, kita juga akan mengalami masalah,” katanya.

Jelasnya, rakyat diharapkan tidak bimbang kerana pihak kementerian akan terus menjaga kepentingan pengguna selain MAFI akan mengimport ayam bulat sejuk beku. Kerajaan juga akan mengkaji semula harga siling selain mencari mekanisme terbaik supaya tiada mana-mana pihak terbeban dengan penyelarasan harga yang ditetapkan.