Input your search keywords and press Enter.

Nikmati E-Rebat Hingga RM400 Untuk Peralatan Elektrik

M Update, 07/01/2022 – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melancarkan Program Sustainability Achieved Efficiency (SAVE) 3.0 iaitu pemberian e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian barangan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga 2022 bermula hari ini.

Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata program SAVE 3.0 dibiayai Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) adalah kesinambungan daripada Program SAVE 1.0 dan SAVE 2.0 dengan penambahan jenis peralatan elektrik cekap tenaga.

Penyediaan insentif e-rebat ini bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik melaksanakan amalan cekap tenaga, sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.

Program SAVE 3.0 berbeza dengan Program SAVE 2.0 yang terhad kepada alat penyaman udara atau peti sejuk dengan nilai rebat sebanyak RM200, manakala Program SAVE 3.0 menyediakan nilai e-rebat yang boleh ditebus hingga RM400 dengan menawarkan lebih banyak pilihan peralatan elektrik.

Terdapat dua kategori peralatan di bawah program ini iaitu kategori satu membabitkan peti sejuk dan penyaman udara, manakala kategori dua televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi. Rebat ini terhad kepada satu akaun sahaja bagi pembelian untuk tahun ini berdasarkan kepada ‘first come first serve basis’.

Pprogram ini hanya dibuka kepada warganegara Malaysia dan pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan syarikat-syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power layak memohon. Penerima e-rebat bagi Program SAVE 2.0 tidak layak untuk memohon bagi kategori satu Program SAVE 3.0.

Pembelian boleh dilakukan secara fizikal di kedai elektrik dan pasar raya berdaftar termasuk secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf seperti Shopee, Lazada dan PG Mall.