M Update, 11/01/2021 – Menurut CEO Pfizer, Albert Bourla, syarikat farmaseutikal itu bakal terus menilai formulasi hibrid terbaharu untuk menghasilkan suntikan khas bagi mengekang penularan Omicron dan merangka hala tuju terbaik menjelang Mac.
Ketika ini Pfizer Inc sedang membangunkan vaksin hibrid yang mengandungi campuran suntikan asas dan formulasi yang berupaya memberi perlindungan terhadap varian Omicron.
Katanya, Pfizer akan bersiap sedia menjelang dua bulan lagi untuk mengadakan libat urus dengan pihak kawal selia Amerika Syarikat (AS) mengenai kandungan vaksin yang ditambah baik dan mengetengahkannya di pasaran, malah proses pengeluaran produk terbaharu itu sudah bermula.
Selepas kemunculan Omicron, Pfizer pada November tahun lalu dilaporkan berkata bahawa pihaknya giat merintis usaha untuk mengeluarkan vaksin khas bagi membendung jangkitan Omicron. Bourla berkata, syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di New York dan menjalin kerjasama dengan rakan strategik dari Jerman, BioNTech SE itu turut mengendalikan ujian penggunaan dos suntikan yang lebih tinggi kadarnya dan meneliti perbezaan jadual dos suntikan.
Beliau berkata, Pfizer akan terus memperuntukkan sumber tambahan kepada unit pembangunan vaksin syarikat berkenaan dan meneroka ruang lain bagi melebarkan penggunaan teknologi penyampai maklumat RNA.
“Jelas (mRNA) adalah suatu teknologi yang sangat berkuasa dan kita ketika ini belum mengoptimumkan sepenuhnya kemampuan berkenaan,” katanya.
Semalam, Pfizer mengumumkan tiga perjanjian untuk membangunkan mRNA yang bakal mengekang COVID-19, penyakit jarang dijumpai dan kanser. Pfizer juga giat memperluaskan akses kepada produk rawatan COVID-19 secara oral, menerusi Paxlovid. Dalam tempoh beberapa minggu, produk ini dapat diperoleh di mana-mana,” kata Bourla. – BLOOMBERG