Input your search keywords and press Enter.

Bantuan Automotif: Boleh Claim Bengkel Tak Berdaftar

M Update, 19/01/2022 – Kerajaan menambah baik pelaksanaan inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia dengan mewujudkan kaedah alternatif untuk mangsa banjir membuat tuntutan tunai dalam keadaan kenderaan dibaiki di bengkel tidak berdaftar.

Berikutan bencana banjir yang melanda negara, kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban golongan terjejas termasuk inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara mangsa banjir untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Permohonan Bantuan Automotif Keluarga Malaysia untuk Bengkel Tidak Berdaftar boleh dibuat secara dalam talian mulai hari ini di portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my. – Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Permohonan secara manual fizikal juga boleh dibuat di mana-mana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berhampiran. Selain itu, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia http://bantuanbanjir.com bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Kini, hampir 20 syarikat automotif, dengan rangkaian lebih daripada 1,800 pusat servis berdaftar di seluruh negara, bersetuju untuk menyertai inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia. Senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutama untuk motosikal akan dikemas kini sepanjang tempoh pelaksanaan.