Input your search keywords and press Enter.

Kim Pan Gon Jurulatih Baharu Harimau Malaya

M Update, 21/01/2022 – Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong, Kim Pan Gon dipilih sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan.

Perkembangan itu diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan pemilihan jurulatih dari Korea Selatan itu dibuat selepas melakukan penilaian rapi terutama apabila badan induk itu menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan berkenaan dari seluruh dunia.

Katanya, jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan akan disambung lagi sekiranya berjaya meningkatkan persembahan skuad Harimau Malaya atau FAM berpuas hati dengan prestasinya.

“Antara kategori pemilihan calon ini, yang pertama mengenai pemahaman dia terhadap bola sepak Malaysia bermakna berkaitan pemain dan sebagainya serta pernah menguruskan pasukan kebangsaan di mana-mana negara. Dia juga perlu tahu siapa musuh Malaysia. Maksudnya kita akan bermain dengan pasukan ASEAN dan Asia, bukan kita nak bertemu negara luar di Eropah kerana sasaran kita ketika ini adalah untuk meningkat di Asia dan ASEAN serta beberapa elemen lagi.

Secara tak langsung ketika ini dia (Pan Gon) antara yang terbaik. Seperti saya katakan mana-mana jurulatih yang kita pilih belum menjanjikan kita melayakkan diri ke Piala Asia atau sebagainya.

“Kita senarai pendek kepada tiga (calon), kita buat kajian dan dia antara yang kita fikir paling layak ketika ini untuk menaikkan pasukan negara di peringkat Asia dan ASEAN,” katanya.

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya kosong selepas peletakan jawatan oleh Tan Cheng Hoe susulan kegagalan skuad negara di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Selain itu, Hamidin menjelaskan belum ada petunjuk prestasi utama (KPI) khusus ditetapkan kepada Pan Gon buat masa ini dengan jurulatih itu dijangka tiba pada bulan depan.

“Kita kena bagi peluang sebab (kontrak) dia ada dua tahun, dua tahun lagi kita akan tengok. Takkan saya nak letak KPI terus untuk ini, tapi kita mengharapkan layak ke Piala Aisia,” katanya. – BH Online