Input your search keywords and press Enter.

‘Tiada Sekatan Pada Kanak-Kanak Tak Divaksin’

M Update, 26/1/2022 – Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin kerana Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib. Bagaimanapun, katanya, ibu bapa digalak untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera (MySJ), demi melindungi mereka daripada COVID-19.

“Daftar anak anda (5-11 tahun) untuk #PICKids di MySJ. Lindungi mereka daripada COVID-19,” katanya dalam ciapan terkini di Twitter.

Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dulu.

Melalui inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal bulan depan dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.

KKM ketika ini mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, yang antara lain ialah kebenaran makan di restoran.– BERNAMA