Input your search keywords and press Enter.

Lima Suspek Terbaru Diburu ESSCOM

Foto: Ihsan ESSCOM

M Update, 27/01/2022 – Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan senarai baharu lima suspek dikehendaki, hari ini.

Lima suspek itu adalah Ahadin Hussein, Ellam Sajirin @ Nasirin, Ismurah Jirah, Madjid Said @ Ammah Pattit dan Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Ahadin, Ellam dan Ismurah disyaki berperanan sebagai penjaga tebusan (keepers) dan terbabit dalam kes penculikan di perairan Tambisan.

Beliau berkata, Madjid adalah ketua paling senior Daulah Islamiah (DI) Sulu Based dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta Sub Leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan. Mudzrimar adalah anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan Sub Leader dalam ASG serta mempunyai kepakaran membuat bom. Malah individu ini perancang letupan bagi insiden di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’ pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo pada 24 Ogos 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Seramai 20 individu warga asing yang mempunyai hubungan dengan ASG berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes-kes jenayah rentas sempadan dan KFR di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). 15 suspek lagi ialah individu yang masih kekal dalam senarai sebelum ini.