Input your search keywords and press Enter.

Gaji Minimum RM1,500 Akhir Tahun 2022  

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 07/02/2022 – Pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum yang baharu, pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, beliau positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Katanya, secara peribadi beliau merasakan kadar gaji minimum baharu itu perlu diselesaikan secepat mungkin, namun ia tetap bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet Tahun 2020.

Berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), menyatakan kadar gaji minimum perlu dibayar kepada pekerja dalam mana-mana kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran adalah sebanyak RM1,200 sebulan, RM46.15 sehari (enam hari bekerja dalam seminggu), RM55.38 sehari (lima hari) dan RM69.23 sehari (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.77.

Gaji RM1,100 sebulan terpakai untuk kawasan selain Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran atau harian RM42.31 (enam hari bekerja dalam seminggu), RM50.77 (lima hari) dan RM63.46 (empat hari), manakala bayaran setiap jam adalah RM5.29.

Gaji minimum RM1,200 terpakai di 16 Majlis Bandaraya iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Seremban.

Ia juga terpakai di 40 Majlis Perbandaran membabitkan enam di Johor, Kedah (4), Kelantan (1), Melaka (3), Negeri Sembilan (2), Pahang (3), Perak (4), Perlis (1), Selangor (6), Terengganu (2), Sabah (3), Sarawak (4) dan Putrajaya.

Mengulas usaha menetapkan gaji baharu itu, Saravanan mengakui, Malaysia sebenarnya agak terlambat memutuskan perkara itu dan kementerian berusaha supaya ia akan direalisasikan menjelang akhir tahun ini. Kita agak terlewat dalam perkara ini, namun kementerian sudah menyelesaikan kajian mengenai gaji baharu itu dan akan mengemukakan cadangan mengikut perundangan bagi menaikkan gaji minuman dari RM1,200 dan semuanya kini bergantung kepada Jemaah Menteri. – BH Online