Input your search keywords and press Enter.

Piala AFF: Malaysia Raih Kemenangan Percuma, Perlawanan Dibatalkan

M Update, 15/02/2022 – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara sememangnya patut mandi bunga apabila diuji lagi selepas perlawanan pertama menentang Myanmar pada kejohanan Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja petang ini dibatalkan.

Difahamkan, perlawanan membabitkan Kumpulan B itu yang hanya berbaki kurang dua jam saja lagi sebelum sepak mula terpaksa dibatalkan berikutan pasukan Myanmar boleh dikatakan lumpuh selepas hampir semua pemainnya disahkan positif Covid-19.

Mengikut rekod berdasarkan jadual perlawanan, Malaysia membuka tirai kempen berdepan Myanmar di Stadium Prince petang ini, diikuti Laos tiga hari kemudian di venue sama.

Indonesia sepatutnya menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 21 Februari di Stadium Nasional Morodok Techo namun mereka menarik diri saat akhir sebelum aksi separuh akhir dan final masing-masing berlangsung pada 24 dan 26 Februari.

Terdahulu, skuad B-23 negara menerima khabar duka apabila seorang lagi pemain disahkan positif Covid-19. Ia kes kedua membabitkan anak buah Brad Maloney selepas Fahmi Daniel Zaaim muncul pemain pertama negara dijangkiti Covid-19 sebaik tiba di Phnom Penh bagi menyertai Kejuaraan AFF B-23, pada Jumaat lalu.

Namun skrip sama berulang apabila Shafi Azswad Sapari yang hadir ke Kemboja bagi menggantikan Fahmi turut dijangkiti selepas keputusan ujian Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Phnom Penh didapati positif. – HM Online