M Update, 18/02/2022 – Kontroversi panas yang membabitkan pelawak Ali Puteh dengan kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali akhirnya terjawab apabila keputusan kes saman fitnah yang difailkan balu Allahyarham Abam Bocey itu berpihak kepadanya.
Hidayah ketika ditemui di Mahkamah Sesyen, di sini, berkata, dia berasa lega dan berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat dia dan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
“Doakan yang baik-baik untuk saya dan anak saya. Alhamdulillah saya dah rasa lega,” katanya ringkas.
Sementara itu, peguam yang mewakili Hidayah dari Tetuan Ibrahim & Fuaadah, Mohamed Ibrahim Mohamad berkata, kemenangan itu sekali gus berjaya membersihkan nama serta reputasi keluarga Hidayah.
“Alhamdulillah mahkamah hari ini memberikan keputusan yang mana ia berpihak kepada anak guam kami. Tuntutan keluarga arwah Abam dan Ali terhadap anak guam saya, Hidayah ditolak dengan kos. Manakala, tuntutan kami terhadap Ali telah dibenarkan dengan kos juga, ganti rugi RM60,000 telah dipersetujui oleh mahkamah untuk dibayar kepada Hidayah.
“Kami percaya keputusan ini telah membersihkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami dan berharap selepas ini tiada lagi. Sebelum ini ada kenyataan dibuat seolah-olah ada pihak dianiaya oleh anak guam kami, tapi hari ini mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada berlaku sebarang penganiayaan, sebaliknya yang dianiaya adalah anak guam kami,” katanya.
Kontroversi mula tercetus apabila Hidayah memfailkan saman terhadap Ali sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000. Saman yang dibuat Hidayah itu antaranya menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim. Antara tuduhan lain yang difailkan terhadapnya dan keluarga adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
Pada 27 Ogos 2020 lalu, Ali memfailkan saman terhadap Hidayah dan jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman. Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan disahkan meninggal dunia pada 10 Februari 2020.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun. – HM Online