M Update, 07/03/2022 – Penyediaan lokar yang julung kali di sekolah rendah dan penyusunan semula jadual waktu, ialah antara tujuh ketetapan diperincikan Kementerian Pendidikan (KPM) yang bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat dihadapi murid.
Selain itu, KPM turut menggariskan ketetapan dari aspek bilangan buku latihan; penggunaan buku aktiviti dan buku kerja; pengenalan buku teks digital; pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP); serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata langkah itu diambil berdasarkan penelitian ke atas maklum balas diperoleh yang mendapati isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya pada Tahap 1 membabitkan Tahun 1, 2 dan 3.
Sehubungan itu, katanya, KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa dengan Fasa 1 adalah bagi murid Tahap 1 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi. Pelaksanaan itu akan membabitkan sebanyak 10,662 kelas serta 323,186 murid, dengan peruntukan 2022 bagi pelaksanaan Fasa 1 dianggarkan berjumlah RM37.3 juta.
Fasa 2 penyediaan lokar pula akan diperluas kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi, yang dijangka dilaksanakan pada 2023.
Bagi sekolah satu sesi, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing. Ini merupakan pendekatan baharu di mana kali pertama KPM menyediakan lokar untuk murid di sekolah,” katanya menerusi mesej video yang dimuat naik dalam Facebook beliau, semalam.
Mengulas pendekatan kedua, Radzi berkata, KPM akan melaksanakan jadual waktu yang mengehadkan jumlah mata pelajaran diajar di sekolah, kepada tiga atau empat subjek sehari. Justeru, beliau berkata, pihak sekolah perlu mengambil kira pelaksanaannya dengan melihat aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan, selain sekolah akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu.
“Hanya subjek tertentu akan diajar dalam satu-satu minggu itu. Ini bagi membolehkan jumlah buku teks atau buku aktiviti yang dibawa ke sekolah, dapat dikurangkan.
“Pendekatan ketiga ialah berkaitan buku latihan. Apabila kami turun ke sekolah, ramai murid didapati membawa lebih daripada dua buku latihan untuk sesuatu subjek. Ini secara tidak langsung menambah berat beg mereka.
Justeru, kita menetapkan bilangan buku latihan untuk sesuatu subjek itu tidak melebihi dua buku pada satu-satu masa dan tebal setiap buku latihan berkenaan tidak boleh melebihi 80 halaman,” katanya.
Mengenai aspek buku aktiviti dan buku kerja pula, Radzi berkata, murid hanya dibenar menggunakan buku aktiviti disediakan KPM. Buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji pada luar waktu PdP di sekolah. Ia berikutan pihaknya mendapati ramai murid membawa pelbagai buku berkenaan yang secara tidak langsung menambah berat beg mereka.
Bagi pendekatan berkaitan buku teks digital, KPM menumpukan penerbitan baharu buku teks dalam format digital yang dilaksanakan secara berterusan. Sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA). Murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital bagi memudahkan pembelajaran mereka,” katanya.
Memperincikan aspek pelaksanaan PdP di sekolah pula, Radzi berkata, guru digalak menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid, iaitu pembelajaran bertema, modular, berasaskan projek, simulasi amali atau terbeza.
Beliau menjelaskan, pendekatan pembelajaran itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada buku teks semata-mata dalam PdP, selain mampu meningkatkan keberkesanan dan mewujudkan persekitaran PdP lebih menyeronokkan.
Bagi pendekatan membabitkan kerjasama dengan JAKIM, KPM sudah dan akan terus berbincang dengan JAKIM bagi memastikan murid diberi kelonggaran untuk ke sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selepas sesi persekolahan dengan memakai pakaian seragam sekolah. Ini secara tidak langsung membolehkan murid tidak lagi perlu membawa pakaian kelas KAFA ke sekolah dan menukarnya untuk mengikuti kelas itu selepas waktu persekolahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, pasukan petugas khas akan diwujud bagi melaporkan secara berkala mengenai pelaksanaan inisiatif mengurangkan beban beg sekolah murid itu.
Beliau memaklumkan, jawatankuasa itu akan meneliti pelaksanaan inisiatif itu secara terperinci pada peringkat sekolah bagi memastikan KPM dapat melaksanakan intervensi yang perlu jika ia tidak berjalan seperti ditetapkan.
“Kita juga memerlukan kerjasama ibu bapa supaya membantu KPM dan pihak sekolah untuk memastikan anak mereka membawa buku ke sekolah berdasarkan jadual ditetapkan. Berdasarkan pemantauan KPM, ramai murid membawa hampir keseluruhan buku tanpa mematuhi jadual waktu ditetapkan sekolah.
KPM akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan ibu bapa dan penjaga bagi membantu menangani masalah ini, khususnya dalam memastikan murid membawa buku mengikut jadual ditetapkan sekolah. Selain itu, sesi libat urus dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga akan dipertingkatkan sebagai antara pendekatan pemantauan,” katanya. – BH