Input your search keywords and press Enter.

Mufti Perlis Nafi Kenyataan Ustaz Wadi Anuar Sujud Dalam Solat

M Update, 20/04/2022 – Jabatan Mufti Negeri Perlis menafikan sekeras-kerasnya kenyataan seorang penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang mendakwa bahawa negeri itu mengeluarkan peraturan sujud dalam solat iaitu mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak bersujud dalam solat.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, berdasarkan satu rakaman video, seorang penceramah yang dikenali dengan nama Wadi Anuar membuat dakwaan berhubung peraturan sujud dalam solat di mana dalam video itu juga ditulis nama negeri Perlis sebagai ulasan.

“Maka, Jabatan ini ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang seperti itu dikeluarkan di negeri ini. Kenyataan itu jika ditujukan kepada Perlis jelas adalah satu tuduhan jahat dan tidak berasas.

“Jika ada pendapat, mana jua penceramah di Perlis, itu bukan peraturan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri ini dan penceramah awam tidak mewakili pihak berkuasa agama,” katanya dalam satu kenyataan media jabatan itu.

Menurutnya, pihaknya percaya kenyataan itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah.

“Jika diandaikan hal itu memang wujud, maka tidak sepatutnya juga dijadikan isu permusuhan sesama Muslim dalam perkara khilaf feqah yang seperti itu.

“Umat Islam perlu berhati-hati dengan sesetengah penceramah yang bersifat suka memfitnah, membuat cerita bohong untuk menimbulkan kebencian dan salah sangka dalam kalangan Muslim,” katanya.

Jabatan Mufti Negeri Perlis juga amat berdukacita disebabkan hal berkenaan berlaku pada Ramadan di mana golongan berkenaan ditafsirkan sebagai golongan yang termasuk dalam al-Nammam iaitu pembawa api permusuhan dan kebencian sesama Muslim.

Malah, jabatan berkenaan juga menyeru agar umat Islam berukhuwah dan mengelakkan diri daripada golongan al-Nammam.

Sebelum ini, tular video penceramah bebas terkenal Ustaz Wadi Annuar yang mendakwa bahawa negeri Perlis mengeluarkan peraturan sujud dalam solat iaitu mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak bersujud dalam solat walhal tiada sebarang peraturan berkenaan dikeluarkan. – HM