Input your search keywords and press Enter.

Netizen Jangan Melampau Komen Kes Bella – Hakim

M Update, 21/04/2022 – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis mengingatkan orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan perjalanan prosiding kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella.

Hakim Izralizam Sanusi memberi peringatan itu selepas pihak pendakwaan menaikkan isu kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial. Beliau berkata, mahkamah akur bahawa rakyat mempunyai hak untuk bersuara namun perlu diingatkan, undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang melampaui batas.

Menurutnya, amaran turut diberi kepada orang awam terutama yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat komen-komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau hina mahkamah.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada pihak pendakwaan serta pembelaan supaya tidak menyebarkan dokumen yang dirujuk di mahkamah, yang secara jelas dimuat naik serta disebarkan ke media sosial.

“Jangan melampau, simpan sahaja komen-komen itu, jangan sebar kenyataan dan dokumen mahkamah semata-mata mahu mahu dapatkan pengikut (followers). Prosiding ini masih jauh, saksi pula tidak sihat, ditambah pula dengan komen-komen seumpama itu, tertuduh juga belum didapati bersalah, mahkamah belum tentukan apa-apa, kamu sudah buat keputusan,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, meskipun amaran sudah diberi namun masih ada komen-komen dibuat secara berleluasa.

“Saya mohon kepada mahkamah untuk memberi amaran kepada orang awam supaya tidak buat hantaran yang boleh memprejudiskan kes,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati yang dilantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, hantaran tersebut turut melibatkan pihak-pihak terlibat.

Dalam kes ini, selain Nor Azizah, pendakwaan dikendalikan oleh Zahida Zakaria dan Zilfinaz Abbas manakala pembelaan dibarisi peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor serta Hafidzah Hassan. Prosiding diteruskan dengan pembelaan memanggil saksi kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 19.

Bagaimanapun, Zahida berkata, Yasmin tidak dapat memberi keterangan kerana sakit.

“Semalam dia mendapatkan rawatan di klinik dan didapati mengalami tekanan darah rendah.

“Saksi ini hadir hari ini tetapi tidak dapat memberi keterangan maka pihak kami memohon untuk memanggil saksi lain,” katanya.

Prosiding disambung dengan pendakwaan memanggil saksi keenam, Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Asisten Superintenden Nazatul Madiyah Manaf.

Pada 20 Ogos 2021, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja tersebut. – Sinar Harian