Input your search keywords and press Enter.

Orang Awam Diminta Jadi ‘Mata-Mata’ JPJ Aidilfitri Nanti

M Update, 22/04/2022 – Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan ketika pulang ke kampung sempena musim perayaan atau bakal menerima kompaun termasuk tindakan mahkamah.

Peringatan itu diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan peningkatan maklumat yang disalurkan orang awam berhubung sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri dan tidak mengendahkan peraturan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, sempena Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula 29 April hingga 8 Mei depan orang awam diminta untuk menjadi ‘mata-mata’ dalam menyalurkan maklumat sekiranya mengesan perbuatan pengguna jalan raya yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, maklumat kesalahan pengguna jalan raya tersebut boleh disalurkan menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ yang boleh dimuat turun melalui Play Store.

Selain 2,200 penguat kuasa yang melakukan pemantauan di lapangan, maklumat daripada e-Aduan itu turut akan membantu kami mengesan pengguna jalan raya yang sengaja melanggar peraturan ditetapkan.

“Jadi kami menyeru orang awam untuk merakam gambar atau video ketika kejadian bersama maklumat ringkas agar tindakan boleh diambil terhadap pengguna tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Ops Khas Bersepadu di Plaza Tol Juru di sini, malam Khamis.

Mengulas lanjut Aedy Fadly berkata, pihaknya percaya ada pengguna jalan raya yang akan bertindak memotong barisan atau memandu di lorong kecemasan sekiranya berlaku kesesakan jalan raya ketika musim perayaan Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, berpandukan maklumat yang diterima pihaknya akan mengambil tindakan dalam tempoh 48 hingga 72 jam terhadap pengguna jalan raya yang terlibat. – Sinar Harian