Input your search keywords and press Enter.

Janazah Ahmad Naim Selamat Dikebumikan

M Update, 13/05/2022 – Jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, antara yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuhraya Utara Selatan arah utara malam kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal pagi ini.

Jenazahnya Ahmad Naim Najmi, 21, dikebumikan berhampiran pusara datuknya, Abdullah Sulong, kira-kira pukul 8 pagi.

Foto: Facebook Haji Hanafiah Mat, Exco Kerajaan Negeri Terengganu

Terdahulu, jenazahnya dibawa pulang ke Kemaman sebaik selesai disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)kira-kira jam 9 malam tadi.

Jenazah mangsa tiba di kediaman neneknya, di Kampung Penunjuk Kijal, dekat sini kira-kira pukul 3.15 pagi tadi dan disolatkan sekali lagi di kediaman neneknya selepas solat subuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat bersama 100 ahli keluarga mangsa dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi majlis pengebumian apabila beberapa ahli keluarga kelihatan sebak selepas talkin dibacakan.

Foto: Facebook Haji Hanafiah Mat, Exco Kerajaan Negeri Terengganu

Ahmad Naim terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 246, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara kira-kira jam 12.52 tengah malam semalam.

Empat rakannya yang turut maut ialah, Muhammad Nasrun Aidul Munir Akhbar, 22, Iqbal Hasnun Halimi,23, Muhammad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Sementara itu, ibunya, Shamila Abdullah, 44, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, termasuk USAS yang membantu dari awal sehingga jenazah anaknya selamat dikebumikan.

“Saya bersyukur urusan perjalanan akhir anak saya dipermudahkan dan terima kasih kepada semua yang membantu semoga Allah membalas jasa baik kalian semua,” katanya.

Foto: Facebook Haji Hanafiah Mat, Exco Kerajaan Negeri Terengganu

Shamila berkata, arwah anaknya itu pulang beraya Aidilfitri di rumahnya di Kemaman selepas dua tahun tidak beraya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

“Pada saya, dia (arwah) tidak menunjukkan perbuatan yang pelik, namun suami saya, Ahmad Hafizan Abdul Rahman,49, perasan arwah kelihatan kurang bercakap berbanding sebelum ini.

“Pada hari raya ketiga lalu ketika pulang beraya di rumah keluarga suami di Sungai Lembing Pahang arwah kelihatan berselera dan makan dengan banyak,” katanya.

Katanya, pada malam kejadian, arwah ada menghubungi dan memaklumkan dia (arwah) ke Ipoh bersama rakan untuk makan malam serta membeli buku.

“Kira-kira jam 3 pagi, saya menerima panggilan telefon daripada rakan arwah yang memaklumkan anak saya itu terbabit dalam kemalangan

“Saya sangat sedih kehilangan arwah kerana arwah merupakan anak sulong saya dan dia menjadi harapan saya dan contoh kepada tiga adiknya yang lain,” katanya. – BH