Input your search keywords and press Enter.

JPA Pertahan Etika Berpakaian Ketika Berurusan Di Pejabat Kerajaan

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 25/05/2022 – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertahankan kod pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di pejabat kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, berkata ia selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan, selain sesuai dengan budaya berbilang kaum di negara ini. Beliau berkata, malah etika berpakaian juga turut dipraktikkan di banyak negara lain antaranya Jepun, United Kingdom dan Australia.

“Penetapan etika berpakaian ini bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan bersama, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Penampilan yang baik mencerminkan ketertiban dalam urusan rasmi kerajaan. Penetapan etika berpakaian ini juga turut dipraktikkan di jabatan kerajaan di Jepun, United Kingdom, Australia serta negara-negara Asean seperti Filipina dan Thailand,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Ngeh Koo Ham mengkritik etika berpakaian yang dikenakan di pejabat kerajaan selain menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap ketua jabatan yang menafikan perkhidmatan kepada orang ramai disebabkan tidak mengikut etika berpakaian ditetapkan.

Beliau mendakwa, tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan pakaian bagi mereka yang mendapatkan perkhidmatan di pejabat kerajaan.

Dalam pada itu Mohd Shafiq berkata, JPA melalui ketua-ketua jabatan akan terus memperkukuh program latihan kepada petugas kaunter di barisan hadapan berhubung etika berpakaian pelanggan.

“Pada masa yang sama, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam urusan perkhidmatan awam, Keluarga Malaysia digalakkan berurusan secara dalam talian melalui aplikasi atau portal yang telah disediakan.

“Ini secara tidak langsung dapat mempercepatkan akses kepada perkhidmatan yang disediakan selain mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya selain menambah bahawa terdapat 389 platform perkhidmatan secara dalam talian yang dibangunkan melalui portal MyGovernment. – Berita Harian