Input your search keywords and press Enter.

AETS beri impak positif harga getah

Walaupun Malaysia hanya melaksanakan AETS bermula 1 April hingga 31 Julai 2019 dengan jumlah eksport dihadkan dan dukurangkan kepada 357,535 tan metric, kesan positif paras harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) FOB telah meningkat sebanyak 12.7% kepada RM5.87 sekilogram semalam, daripada RM5.21 sekilogram pada 31 Disember tahun lalu setelah pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) ke-6 diumumkan.

Pelaksanaan AETS telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang diadakan pada 4 hingga 5 Mac lalu, di Bangkok dimana mesyuarat tersebut dihadiri pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Mesyuarat ini adalah susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Februari juga diadakan di Bangkok

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metric.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Pengawasan AETS telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC.

Program lain di bawah kerangka kerja ITRC seperti Skim Penggalakan Permintaan dan Skim Pengurusan Penawaran akan diteruskan dan ditambah baik bagi meningkatkan penggunaan domestik getah asli dan mengimbangi permintaan dan penawaran getah asli dunia.

Antara program yang dijangka memberikan impak kepada peningkatan penggunaan getah asli ialah Jalan Berturap Getah.

Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu memperkukuhkan lagi harga getah asli untuk kesejahteraan pekebun kecil getah di rantau ini.

BERNAMA

Leave a Reply