Input your search keywords and press Enter.

KKM Buat Persiapan Vaksinasi Kontak Rapat Cacar Monyet

M Update, 27/05/2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat persiapan untuk melakukan vaksinasi bagi kontak rapat kepada penyakit cacar monyet.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah tersebut merupakan antara strategi dalam pengurusan kawalan kes bagi penyakit tersebut. “Kita sedang menyediakan strategi untuk vaksin kepada kontak rapat dan juga pekerja kesihatan sekiranya berlaku wabak cacar monyet di Malaysia,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 itu berkata, sebagai langkah pengesanan awal kes cacar monyet di negara ini, aplikasi MySejahtera turut akan dilengkapi dengan ciri khas iaitu ‘Monkeypox Alert’.

Menurutnya, ciri khas yang bakal diaktifkan pada esok itu berfungsi dalam memberi peringatan kepada pengembara dari luar negara bahawa mereka berada di negara yang mempunyai kes cacar monyet dan disarankan untuk melakukan pemantauan pengasingan kendiri selama 21 hari.

“Jadi pengembara dari negara (endemik) cacar monyet seperti Cameroon, Central African Republic, Nigeria dan juga negara-negara bukan endemik di mana kes cacar monyet telah pun dikesan seperti Belgium, Australia dan lain-lain. Mereka tidak akan menerima Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) tetapi mereka akan dapat ‘pop-up alert’ (mesej peringatan),” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian