Input your search keywords and press Enter.

Malulah Bila Rider Asing Kecam Jalan Raya Kita

Tangkap layar perkongsian @EppyFizul di laman Twitter mengenai video penunggang motosikal berkuasa tinggi dari luar negara

M Update, 08/06/2022 – Tularnya video penunggang motosikal luar negara yang menghentam pihak berkuasa kita kerana gagal membaik pulih jalan berlubang.

Melalui kenyataan penunggang itu, dia membandingkan jalan raya di Peru sebuah negara yang miskin, begitu baik jika dibandingkan dengan Malaysia.

Sudah semestinya video itu mendapat reaksi yang hangat, menyokong kenyataan penunggang motosikal berkenaan biarpun ada komen nakal mengatakan: “Peru negara miskin, tidak banyak kenderaan sebab itu jalan raya tidak berlubang.”

Bagi Merak Jalanan, kenyataan penunggang itu tidak jelas di manakah lokasi sebenar jalan berlubang itu. Adakah itu hanya tuduhan semata-mata?

Alasan yang sama jugalah akan diajukan pihak berkuasa berkaitan tentang pendedahan itu iaitu lokasi tidak jelas, dan akhirnya tiada tindakan.

Bagaimanapun seharusnya pihak berkaitan berasa malu dengan kecaman orang luar, apabila memang ada jalan raya di sesetengah tempat ibarat dipenuhi dengan ‘periuk api’.

Lihat saja di Sabah sebagai contoh. Negeri yang cukup indah, berlatarkan Gunung Kinabalu dan dikelilingi pulau yang air lautnya membiru tetapi dicemari dengan jalan raya berlubang di sana sini.

Kawan Merak Jalanan bercerita terpaksa menagih insan penduduk kampung apabila tayar keretanya pancit terlanggar lubang pada malam hari.

Itu baru cerita di Sabah. Di negeri lain bagaimana pula? Pada Merak Jalanan, sama sahaja di sebahagian tempat, malah ada yang terkorban akibat jalan berlubang itu. Jadi jangan pandang hentaman ‘orang luar’ itu sebelah mata.

Turunlah ke setiap pelosok jalan raya dan ambillah tindakan yang drastik. Jangan bila nak pilihan raya, baru jalan nak diturap. – Sinar Harian