Input your search keywords and press Enter.

PIKAS: Majikan Menanggung Sepenuhnya Kos Pelaksanaan Program

M Update, 17/06/2021 – Syarikat yang menyertai Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) tidak boleh mengenakan sebarang kos vaksinasi kepada pekerjanya.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata majikan juga tidak boleh memotong gaji pekerja, sebaliknya perlu menanggung sepenuhnya sebarang kos daripada pelaksanaan program berkenaan.

Bagi memastikan syarat itu dipatuhi majikan, Mohamed Azmin memaklumkan syarikat perlu menandatangani perjanjian sebelum dibenarkan menyertai PIKAS.

“Ketika sesi dialog dengan wakil kesatuan pekerja semalam, mereka bangkitkan kebimbangan kemungkinan pelaksanaan PIKAS akan menyebabkan kos tambahan dibiayai pekerja.

Saya memberi jaminan bahawa dasar kerajaan ialah semua rakyat Malaysia, termasuk pekerja sektor pembuatan, diberi suntikan vaksin COVID-19 secara percuma.

“Majikan tidak dibenarkan memindahkan kos kepada pekerja, sebaliknya perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi atau apa jua kos tambahan untuk melancarkan PIKAS,” katanya pada sidang media pelancaran PIKAS di sini, semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir melancar dan melawat pelaksanaan PIKAS yang pertama di Selangor di kilang Texas Instrument Malaysia Sdn Bhd, di sini.

Mohamed Azmin menjelaskan, antara syarat yang perlu dipersetujui majikan termasuklah syarikat perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kos pentadbiran pusat pemberian vaksin (PPV) lapangan, termasuk perkhidmatan petugas perubatan, kakitangan pentadbiran dan anggota keselamatan.

Selain itu, katanya, syarikat perlu menanggung kos vaksinasi penuh pekerja, termasuk sekiranya pekerja itu tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan sebelum sempat menerima dos kedua vaksin. Syarikat juga tidak dibenarkan menolak kos pentadbiran daripada gaji atau imbuhan pekerja. Syarikat juga bertanggungjawab memastikan kehadiran pekerja di PPV pada hari vaksinasi.

Ditanya sama ada PIKAS hanya untuk pekerja tempatan atau turut membabitkan pekerja asing, Mohamed Azmin berkata, suntikan percuma vaksin COVID-19 akan merangkumi semua pekerja sektor pembuatan tanpa mengira kewarganegaraan.

“Dasar kita ialah tiada sesiapa yang terselamat sehingga semua orang sudah selamat. Suntikan ini akan diberikan kepada rakyat tempatan dan pekerja asing di negara ini.

Saya yakin dan percaya dengan bekalan vaksin yang semakin meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan pelaksanaan PIKAS, kita akan dapat mencapai imuniti kelompok mengikut sasaran untuk menang dalam perang COVID-19. – BH Online