Input your search keywords and press Enter.

Skypark Link: Tambang Lebih Murah Dari KL Sentral – Airport Subang

M Update, 10/06/2022 – Dulu RM10, Kini RM3.50 sahaja. Murah dan sangat berbaloi. Kadar tambang Skypark Link dari KL Sentral, ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, diturunkan daripada RM10 kepada RM3.50, berkuat kuasa semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika mengumumkan perkara itu berkata penjimatan sebanyak 64 peratus itu adalah pelarasan tambang perkhidmatan tren ekspres kepada kadar tambang perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang.

Selain itu, beliau berkata, kadar tambang konsesi potongan 50 peratus juga terpakai bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

“Kerajaan sentiasa komited membantu B40 dan golongan rentan bagi pembangunan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.

Pelbagai inisiatif dibangunkan kerajaan dan agensinya bagi memberi akses kepada rakyat serta mengangkat status sosioekonomi mereka.

“Seperti yang kita ketahui, kos pengangkutan awam adalah faktor ketiga terpenting dalam menyumbang kepada kenaikan mahupun penurunan kos sara hidup rakyat di negara ini.

Rakyat diseru memanfaatkan inisiatif itu bagi memastikan objektif Dasar Pengangkutan Negara (DPN) dapat dicapai, iaitu menyediakan mobiliti yang memenuhi permintaan rakyat dan inklusif. – BH