Input your search keywords and press Enter.

Pemandu Treler Ditahan, 4 Sekeluarga Maut

M Update, 14/07/2022 – Polis mengesahkan identiti empat beranak yang mangsa maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (Km) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu kemalangan jalan raya maut membabitkan sebuah lori treler dan enam kenderaan.

“Pemandu dan tiga penumpang bagi salah sebuah kereta terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu adalah seorang lelaki berusia 60 tahun, manakala penumpang hadapan isteri berusia 59 tahun serta dua anak perempuan yang duduk di belakang kereta, masing-masing berusia 27 dan 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Mior Faridalathrash berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Menurutnya, hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati, sebuah lori treler bermuatan kosong yang dipandu oleh seorang lelaki Melayu berusia 34 tahun dari Taiping menghala ke Bukit Beruntung merempuh kereta yang dinaiki oleh empat penumpang sekeluarga dari belakang.

Akibat daripada rempuhan berkenaan, kedua-dua lori treler dan kereta itu telah mengelongsor ke hadapan lalu melanggar 5 kenderaan yang lain. Keempat-empat pemandu dan penumpang di dalam kereta berkenaan mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, lima kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan ini turut mengalami kerosakan teruk namun kesemua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis menahan pemandu lori treler yang terbabit dan akan direman pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut. Ujian air kencing yang dijalankan mendapati beliau tidak memandu di bawah pengaruh dadah.

“Walau bagaimanapun, semakan rekod kesalahan trafik mendapati pemandu treler ini mempunyai 13 saman trafik dari tahun 2008 hingga 2021, di mana tiga daripadanya adalah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2012, 2020 dan 2021,” katanya

Justeru, beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak menyeru kepada orang awam yang menyaksikan kemalangan agar berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Tarmini Che Hassan,

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 013-5949441 untuk membantu dalam siasatan kes ini. – Berita Harian