Input your search keywords and press Enter.

Elak Aktiviti Riadah Ketika Musim Tengkujuh – Bomba

M Update, 13/12/2022 – Orang ramai dinasihati tidak melakukan aktiviti riadah dan pendakian di kawasan rekreasi buat sementara sepanjang Monsun Timur laut sebagai langkah keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata dalam keadaan monsun itu, ia tidak sesuai dan mendedahkan kepada kejadian tidak diingini.

Katanya, kejadian seperti kepala air yang berlaku di sungai atau air terjun boleh berlaku secara tiba-tiba.

“Selain itu, aktiviti pendakian tidak digalakkan kerana permukaan licin yang boleh mendedahkan kepada bahaya kepada pendaki. Sebaiknya cuba mengelakkan daripada mengunjungi dan melakukan kegiatan riadah buat sementara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut menasihati ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak bermain air banjir. Katanya, ini kerana keadaan air atau arus deras tidak dapat dijangka dan ia boleh mengundang kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihati tidak bertindak meredah jalan yang ditenggelami air bagi mengelakkan risiko,” katanya. – Berita Harian