Input your search keywords and press Enter.

Hasil Siasatan Kes Adib Akan Dibentang September Ini

M Update, 01/09/2022 – Laporan Jawatankuasa Khas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada jemaah menteri, September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu telah diterima kerajaan pada Selasa.

“Laporan disediakan telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang telah dilantik dan wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Wan Junaidi yang merupakan Pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes, sesi penelitian dokumen siasatan.

“Selain itu, sesi rekonstruksi kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan kerajaan agar laporan itu dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden tersebut.

“Kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang kembali di masa hadapan,” katanya.

Muhammad Adib, 26, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 September 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. – Sinar Harian