Input your search keywords and press Enter.

Pembukaan Fasa 1 Lebuhraya SUKE Akan Diumum Hari Ini

Foto: LLM

M Update, 15/09/2022 – Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang kini siap 98%, akan dijangka diumumkan hari ini, kata Prolintas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Mohammad Azlan Abdullah berkata, jajaran fasa pertama itu akan membabitkan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang serta 11 persimpangan. Beliau berkata, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual melancarkan fasa pertama pembukaan SUKE malam ini.

“Kita jangka 80,000 pengguna akan menggunakan laluan ini sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

“Ini sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang MRR2 sebanyak 30 peratus, Jalan Ampang (36 peratus) dan Jalan Loke Yew (12 peratus).

“Lebuh raya ini lebih kepada memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih laluan lebih cepat, selesa, selamat dan cekap,” katanya selepas taklimat kepada media mengenai perkembangan projek SUKE semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Azlan berkata, kemajuan projek SUKE sepanjang 24.4 km bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang itu kini pada kadar 98 peratus setakat 30 Ogos lalu. Baki yang belum disiapkan iaitu dari Bandar Tasik Selatan ke Taman Len Seng di Cheras dan Alam Damai akan kita cuba selesaikan pada suku pertama 2023,” katanya.

Selain itu, Lebuhraya SUKE dibina dengan 90 peratus bertingkat dan hanya 10 peratus sahaja di atas tanah serta mempunyai tiga lorong dua hala dengan kelebaran 3.5 meter bagi setiap lorong, selain penyediaan lorong kecemasan selebar tiga meter.

Foto: Bernama

Katanya, SUKE juga akan mempunyai 14 persimpangan iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.

“SUKE juga menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) (dalam pembinaan) akan datang,” katanya.

Beliau berkata, SUKE adalah lebuh raya 100 peratus berlampu dengan dilengkapi 3,377 lampu jalan LED, selain dilengkapi 40 kamera litar tertutup (CCTV), 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesanan kemalangan kenderaan (VIDS) dipasang pada tiang bersepadu.

“SUKE juga mempunyai satu kawasan rehat dan rawat (RSA Tasik Tambahan) yang dalam perancangan pembinaan serta dua hentian sebelah di Tol Plaza Alam Damai dan Tol Plaza Bukit Teratai,” katanya.

SUKE yang menyediakan penyelesaian penyuraian trafik di bahagian timur Kuala Lumpur ialah projek di bawah inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dipacu Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pembinaan SUKE yang bermula pada 0gos 2016 membabitkan kos RM5.7 bilion, mempunyai struktur jejambat lebuh raya tertinggi (jejambat bertingkat galang kekotak bersegmen (SBG)) pada ketinggian 56.4m merentasi MRT Laluan Sungai Besi-Kajang (SBK) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Ia mempunyai tanjakan ‘helikoidal’ pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Selain itu, ia menempatkan penghadang bunyi di kedua-dua arah laluan dengan jumlah panjang 18.69 kilometer yang melalui 37 kawasan perumahan, institusi pendidikan, komersial, rumah ibadat, kuarters polis dan askar serta LRT Ampang. – Berita Harian & Free Malaysia Today