M Update, 20/09/2022 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan latihan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal bermula Rabu (21 Sept) hingga 26 Sept, melibatkan sekitar Pangkalan Udara Kuantan dan ruang udara Pahang.
TUDM menerusi kenyataan di sini memaklumkan ia merupakan latihan dan penerbangan sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-89 yang akan disambut pada 26 Sept ini di Pangkalan Udara Kuantan, dengan TUDM dipertanggungjawabkan sebagai penganjur acara perbarisan.
“Sempena sambutan ini ATM akan melaksanakan latihan demonstrasi keupayaan yang akan melibatkan aset udara dari perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan TUDM.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat TUDM dan ATM terbang rendah atau mendengar bunyi letupan semasa latihan dan hari sebenar demonstrasi keupayaan ini dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.