Input your search keywords and press Enter.

PENGURUSAN BENCANA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Episod Monsoon Timur Laut 2021 (MTL2021) menyaksikan kejadian banjir yang meragut nyawa rakyat, mengakibatkan kehilangan harta benda dan menyebabkan pelbagai kerosakan infrastruktur awam. Pelbagai pihak saling tuding menuding jari mencari kesalahan. Rakyat menyalahkan jentera kerajaan khususnya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus bencana dengan cekap dan berkesan. Agensi kerajaan lain turut terkesan apabila ekspektasi rakyat dianggap tidak dapat dipenuhi. Walaupun pelbagai agensi kerajaan telah sedaya upaya melaksanakan fungsi tugas masing-masing, namun beberapa kegagalan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat telah menenggelamkan khidmat-khidmat bakti lain yang sebenarnya berjaya dicapai. Kuasa media sosial yang begitu pantas menyebarkan maklumat memberi gambaran keadaan bencana telah bertukar menjadi krisis yang rumit untuk ditangani.

Justeru dalam suasana terdesak ini, harapan rakyat kepada jentera kerajaan telah banyak terhakis. Disebabkan keadaan ini walaupun sebahagian besar pengurusan bencana di lapangan dapat dilaksana, namun insiden-insiden di Taman Sri Muda dan Hulu Langat memperlihat kepincangan pelbagai pihak dalam menangani episod bencana banjir tersebut. Koordinasi yang lemah di beberapa peringkat pelaksanaan serta kepincangan kapasiti dan kompetensi di agensi yang sepatutnya menerajui operasi pengurusan bencana menyebabkan rakyat hilang sabar dan terus menerus meletakkan kesalahan di pihak kerajaan. Kemarahan rakyat ada asasnya, kerana mereka merasakan pihak berkuasa sepatutnya harus mampu memberi perkhidmatan terbaik di dalam memelihara nyawa dan harta benda mereka. Agensi yang sepatutnya menerajui kelihatan hilang punca dan tidak dapat berfungsi dengan cekap serta berkesan. Nyawa dan kehidupan rakyat dipertaruhnya. Apakah yang berlaku dan dimanakan silapnya? Rakyat terpaksa berhadapan realiti mengharungi impak bencana banjir dengan perasaan hiba bercampur marah kerana mereka merasakan terpaksa menanggung akibat dari persepsi kegagalan jentera kerajaan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Kehilangan nyawa dan harta benda sewajarnya boleh dielakkan. Namun sebaliknya yang terjadi sewaktu episod bencana banjir MTL 2021.

Hakikatnya Kerajaan terpaksa mengendali pengurusan episod bencana banjir MTL 2021 ini dalam mod krisis. Sekali lagi ketidakupayaan peneraju pengurusan bencana menyebabkan kepimpinan negara terpaksa menggerakkan mekanisme pengurusan krisis yang diterajui YAB Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara. Sewajarnya krisis ini boleh dielakkan jika pengurusan bencana di letakkan di landasan yang betul. Penubuhan sebuah agensi untuk meneraju pengurusan bencana pada tahun 2015 sepatutnya disusuli langkah-langkah memperkukuh tadbir urus berkaitan. Ini termasuk menggubal suatu kerangka perundangan dalam mengurus bencana. Namun setelah tujuh tahun berlalu, tiada sebarang kemajuan signifikan di capai. Mekanisme Arahan MKN No. 20 (yang kali terakhir disemak padan tahun 2012) masih terguna pakai tanpa sebarang kemaskini. Sekali lagi, hanya apabila situasi berkenaan terpaksa dikendali dalam pendekatan pengurusan krisis negara, situasi yang meruncing dapat dipulihkan dengan kadar segera. Namun rakyat telah terpaksa menanggung kesengsaraan disebabkan wujud kelemahan kompetensi dalam pengurusan bencana negara.

Justeru kerajaan terpaksa menanggung akauntabiliti kegagalan ini dengan kesan yang terpaksa ditanggung rakyat. Individu dan organisasi yang gagal memberi penyampaian perkhidmatan hingga menjejaskan kehidupan rakyat harus bersedia menerima hakikat bahawa sekiranya tidak mampu memberi khidmat terbaik, rakyat ingin melihat perubahan signifikan dan drastik untuk dilakukan oleh kepimpinan negara. Kerajaan tidak boleh membiarkan kesilapan dan kelemahan ini berulang. Telah tiba masa pengurusan bencana negara diletakkan tadbir urus dan kepimpinannya kepada individu dan organisasi yang kompeten. Kerajaan harus meletakkan langkah kehadapan memberi mandat mengurus bencana kepada organisasi yang mempunyai kredebiliti dalam menggembeleng seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

Dalam hubungan ini, rakyat turut harus menerima hakikat selengkap manapun jentera kerajaan dipersiapkan, seramai mana pasukan penyelamat serta barisan hadapan di perkukuhkan, kuasa yang maha Esa akan tetap menjadi faktor apa juga mangnitud bencana. Keupayaan manusia yang serba kerdil dalam menghadapi sebarang bentuk bencana di luar had dan kemampuan makhluk adalah hakikat yang tidak dapat disangkal. Namun, ini bukan alasan untuk tidak bersiap siaga. Cuma kesiap siagaan itu bukan hanya terletak di bahu jentera kerajaan. Rakyat harus bersedia berganding bahu di dalam komuniti masing-masing untuk memperkukuh persediaan menghadapi bencana. Ini khususnya apabila episod Monsoon Timur Laut 2022 yang dijangka bakal melanda negara. Semestinya kita semua berdoa agar Malaysia yang bertuah ini terlindung dari sebarang bencana dan malapetaka. Walaubagaimanapun berdoa tanpa berusaha dengan ikhtiar yang sepatutnya adalah pendirian yang salah dan tidak boleh diterima. Rakyat telah membuktikan, dalam kesusahan setiap ahli komuniti akan menjaga komuniti masing-masing. Dan ini lah kekuatan rakyat Malaysia yang sewajarnya diperkukuh dengan semangat untuk saling tolong menolong, dan lengkap melengkapi diwaktu susah apatahlagi di waktu senang. Maka kebersamaan rakyat ini haruslah menjadi semangat untuk turut berganding bahu dengan jentera kerajaan di dalam bersama memperkukuhkan kerjasama berhadapan risiko bencana.

Cukupkan episod bencana banjir MTL2021 menjadi nota hitam dalam sejarah pengurusan bencana negara. Khidmat bakti yang berjaya dilaksana oleh pasukan barisan hadapan jangan dilupa. Ketahanan rakyat berhadapan situasi getir tanpa bantuan segera jangan di ketepi. Keluh kesah diiringi linangan air mata mangsa bencana yang terpaksa menanggung sengsara tidak boleh dipandang sepi. Jangan biarkan ia berulang. Jadikan pengalaman episod ini untuk memperkukuh kerjasama dan bukan merenggang hubungan. Rakyat dan pasukan penyelamat barisan hadapan berpisah tiada. Setiap pihak harus bermuhasabah dan berlapang dada. Setiap dari kita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Rakyat harus cakna dengan peringatan dan amaran yang dikeluarkan jentera kerajaan. Dan Jentera kerajaan harus mempertingkat kesiap siagaan secara menyeluruh. Biarkan kali ini kita bersiap sedia bersama sebagai suatu pasukan. Seharusnya kebersamaan seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat ini kita terus perkukuh dan perkayakan. Sesungguhnya pengurusan bencana ini tanggungjawab kita bersama.

Ibnu Muhsin
20 September 2022

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.