M Update, 30/09/2022 – Ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.
Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand.
“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air semalam.
“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Acryl Sani berkata, pihaknya juga turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk melarikan mangsa dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.
“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa.
“PDRM juga meminta kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Mangsa sebelum ini dilarikan pada jam 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand. Kereta sama kemudiannya ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.
Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan. – Berita Harian