M Update, 03/10/2022 – Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran cuaca buruk kepada rakyat negara itu yang berada di Malaysia sebagai persediaan berdepan hujan lebat, ribut dan banjir bermula bulan depan.
Berdasarkan amaran yang dikeluarkan di laman sesawang Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Selasa lalu, rakyat negara itu diingatkan untuk bersiap sedia berdepan Musim Siklon Tropika di Laut Pasifik Selatan bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
Menurut amaran itu, Malaysia berisiko dilanda hujan ribut berpanjangan dan bencana banjir sepanjang Musim Siklon Tropika yang boleh menyebabkan bekalan utiliti terputus selama beberapa hari.
“Di Malaysia, siklon tropika kebiasaannya disusuli bersama ribut hujan berterusan dan banjir di beberapa kawasan di negara ini, termasuk Kuala Lumpur.
“Hujan lebat dan ribut kilat yang teruk boleh menyebabkan gangguan elektrik dan bekalan air terputus secara meluas.
“Warga AS di Malaysia dinasihatkan untuk bersiap sedia lebih awal bagi berdepan kemungkinan gangguan utiliti kerana ia boleh berlaku selama beberapa hari,” jelas amaran itu.
BH sebelum ini melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan dilanda hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang berisiko menyebabkan bencana banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Selain itu, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan akan menyumbang pada peningkatan taburan hujan. – Berita Harian