Input your search keywords and press Enter.

Rakyat Israel, Pempengaruh Nas Daily Masuk Malaysia Guna Passport Caribean

M Update, 20/10/2022 – Rakyat Israel dan pempengaruh terkenal Nuseir Yassin yang memasuki Malaysia pada 16 Oktober lalu dikesan mempunyai dua kerakyatan dengan memasuki negara ini menggunakan pasport Caribbean.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil siasatan, Nuseir didapati memasuki Malaysia menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis, sebuah negara dalam Caribbean.

“Individu terbabit tidak bersalah dari segi akta imigresen negara ini kerana memiliki pasport yang tulen dan dikeluarkan negara pengeluar.

“Dia (Nuseir) juga tidak melakukan kesalahan sama ada dalam sistem imigresen ataupun Interpol,” katanya selepas Majlis Perasmian Pelancaran Program Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan (3P) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kekeliruan orang ramai terhadap individu rakyat Israel yang masuk ke negara ini, selepas tular individu berkenaan di Melaka, baru-baru ini.

Nuseir yang juga video blogger terkenal itu berada di Malaysia selama 12 jam.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sekiranya Nuseir menggunakan pasport Israel, sudah tentu dia tidak akan berjaya melepasi pintu masuk negara ini.

“Ini kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Perlu dijelaskan, dia juga tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut peraturan imigresen dan sebab itu kelulusan mengikut pas pelancong diberikan pada 16 Oktober lalu.

“Dia keluar dari negara ini pada hari yang sama iaitu 16 Oktober,” katanya. – Harian Metro