Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : Lebih 19,000 Pekerja Asing di Negeri Sembilan Belum Jalani Saringan

Majikan perlu memastikan semua pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19.

M Update, 02/02/2021 – Lebih 19,000 pekerja asing dari pelbagai sektor di negeri ini belum menjalani ujian saringan COVID-19 sejak ia diwajibkan pada 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri sembilan, S Tharumarajan, berkata setakat ini hanya sekitar 62 peratus daripada keseluruhan 51,000 pekerja asing saringan COVID-19.

“Daripada 51,000 hanya sekitar 31,200 pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19. Masih ramai pekerja asing belum menunjukkan komitmen menjalankan ujian saringan itu.

“Walaupun Negeri Sembilan tidak mencatatkan kes harian yang tinggi berbanding negeri lain, majikan perlu segera memastikan pekerja mereka ujian saringan ini,” katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan diwajibkan membiayai semua kos suntikan vaksin kepada pekerja masing-masing termasuk ujian pengesanan COVID-19.

Ia selaras Seksyen 24J(f) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Akta berkenaan menetapkan semua pekerja asing perlu menjalani ujian saringan COVID-19, dengan majikan menanggung fi, kos dan caj bagi ujian itu.

Justeru, Tharumarajan menasihatkan majikan yang belum melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing untuk berbuat demikian seberapa segera sebelum akhir bulan ini.

Beliau berkata, jabatan itu dan semua agensi Kementerian Sumber Manusia, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) akan melaksanakan operasi serta mengambil tindakan sewajarnya ke atas majikan yang gagal berbuat demikian.

“Jika majikan gagal berbuat demikian, mereka boleh didakwa mengikut Akta 342 di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No. 9 2020 Perkara 10,” katanya.