Input your search keywords and press Enter.

Veteran Tidak Berpencen Nikmati BSH RM300 Mulai Usia 60 Tahun

M Update, 08/08/2023 – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen akan menikmati Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan pada usia 60 tahun berbanding 80 tahun sebelum ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata insentif itu berkuat kuasa bulan depan dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 orang membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

Pemanjangan BSH kepada Veteran Tidak Berpencen pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan Kerajaan kepada penjawat awam.

Jelasnya, selain insentif berbentuk kewangan, kebajikan veteran juga dititikberatkan kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan ATM.

Perdana Menteri semasa di Perhimpunan Hari Pekerja 2023 pada 1 Mei lalu telah mengumumkan untuk membuat semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada negara,” katanya.

Tambahnya, kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam akan melihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan penjawat awam meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan penjawat awam.