Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Boleh Tegur PM, Kabinet Jika Arahan Tak Ikut Peraturan

M Update, 16/01/2023 – Pegawai dan kakitangan awam perlu menegur sebarang keputusan dibuat Menteri termasuk Perdana Menteri, jika ia didapati melanggar peraturan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pegawai yang melaksanakan arahan yang mengandungi apa disifatkan sebagai keterlanjuran tidak boleh dipersalahkan berikutan ia diminitkan oleh menteri menyebabkan mereka mematuhinya.

“Saya tekankan penguatkuasaan. Apa yang saya pelajari terutama di Kementerian Kewangan, melihat banyak fail banyak keterlanjuran. Nak salahkan pegawai kalau minit daripada menteri apatah lagi Perdana Menteri dia patuh.

“Tetapi saya sudah beri arahan jelas kalau ada minit daripada Perdana Menteri sendiri pun kalau dianggap melanggar peraturan dan undang-undang, sekurang-kurangnya saya dimaklumkan terlebih dahulu. Apa lagi kalau dalam kalangan pegawai di pejabat saya, pejabat Timbalan Perdana Menteri (dan) pejabat Menteri,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, hari ini.

Yang turut hadir Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jangan amal budaya selesa, tekad laksana perubahan untuk negara

Perdana Menteri turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam untuk tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.

Sebaliknya mereka perlu mempunyai keinginan dan berhasrat untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan, tanpa mengetepikan kekuatannya.

Beliau berkata, budaya selesa apabila sudah memegang sebarang jawatan utama, baik sebagai menteri mahupun sebagai pegawai kanan kerajaan perlu diubah.

“Budaya yang selesa, …dah jadi menteri atau dah jadi Perdana Menteri, dah jadi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) misalnya… Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP). Saya sebut jawatan yang belum diisi jadi senang. Esok bila dah lantik sebut jadi sensitif pula.

“Jadi sudah mantap, sistem yang sudah bergerak selama puluhan tahun tapi harus ada kesediaan, ‘humility’ untuk mengiktiraf ada kekuatannya tetapi apabila kita letak tokoh baharu harus ada hasrat untuk membawa perubahan,” katanya.

Anwar berkata, keinginan untuk melakukan perubahan itu wujud dalam semua agama termasuk Islam.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri adalah tokoh yang melakukan transformasi dalam pentadbirannya. Justeru, Perdana Menteri berkata, adalah tidak benar untuk anggota pentadbirannya menyatakan perlu ada budaya selesa yang memberi kesan negatif kepada mereka. – Berita Harian