Input your search keywords and press Enter.

Sekat Penjualan Aksesori Kenderaan, Tak Adil Pengguna Sahaja Kena Saman

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 08/02/2023 – Aksesori kenderaan yang tidak memenuhi spesifikasi atau melanggar undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 perlu disekat masuk ke Malaysia.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, penjualan barangan itu perlu dilarang dibawa masuk di peringkat import lagi.

“Apabila ada penjualan adalah orang yang membeli dan guna walaupun ia menyalahi undang-undang, tetapi barangan itu terutama dari China dibenarkan masuk ke Malaysia di peringkat import lagi.

“Tidak adil jika kesalahan hanya diletakkan kepada pengguna akhir yang memakai aksesori itu pada kenderaan mereka tetapi isunya macam mana pula kita hendak ambil tindakan kepada pemilik kedai atau bengkel yang menjualnya. Jadi, tindakan utama patut dilakukan kerajaan ialah semua aksesori kenderaan yang menyalahi APJ 1987 perlu dihalang dan disekat pada peringkat import terlebih dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas sama ada pemilik kedai mahupun bengkel perlu diambil tindakan seperti pengguna bagi mengekang trend penggunaan aksesori kenderaan yang menyalahi APJ 1987.

Mengulas lanjut katanya, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu sepakat membincangkan penyelesaian isu berkenaan.

“Isu ini membabitkan bidang kuasa empat kementerian itu, jadi kita harapkan mereka dapat duduk semeja bagi memutuskan penyelesaian yang terbaik.

“Jika aksesori kenderaan yang menyalahi undang-undang ini sudah disekat masuk Malaysia, saya yakin masalah yang berlaku ini dapat dibendung. Tetapi jika masih ada yang menjual dan menggunakan pada kenderaan maka kerajaan boleh mengambil tindakan tegas kepada golongan itu kerana ingkar,” katanya.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mengenal pasti beberapa aksesori berisiko dan berbahaya kepada pengguna yang boleh didapati dengan mudah di kedai mahupun dalam talian.

Ia membabitkan lapisan cermin gelap pekat, ubah suai lampu utama dan bahagian belakang selain alat nyah aktif penggera tali keledar (dummy buckle).

Selain itu, turut menjadi trend pemilik kenderaan ialah mengubah suai enjin dan ekzos, memasang rim atau tayar kangkang dan pendawaian elektrik seperti speaker, pemain LCD atau DVD selain pelapik stereng serta hiasan dashboard yang tidak bersesuaian. – Harian Metro