M Update, 27/02/2023 – Golongan penjawat awam diminta bersabar berhubung soal kenaikan gaji kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, tindakan itu perlu dilihat secara menyeluruh selain perlu melihat kepada kedudukan ekonomi serta hutang negara.
“Masalah kita hutang ada sebanyak RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus dan kalau kita tambah gaji defisit jadi 6.5 peratus. Kesannya tiada pelabur luar akan datang melabur di negara kita.
“Jadi saya mohon sabarlah sekejap kerana kita cuba curahkan daripada apa hasil yang kita ada,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Forum Antarabangsa mengenai Islamofobia di Putrajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar turut berkata, isu kemiskinan tegar juga perlu diutamakan selari dengan usaha kerajaan untuk menoktahkan masalah berkenaan.
“Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja-pekerja yang ada? Bagi saya, pesawah padi, pekebun getah, dan nelayan ini semua golongan miskin tegar kerana mereka semua ini nak hidup memang susah,” katanya lagi.
Baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan kekecewaan apabila Belanjawan 2023 yang baharu dibentangkan dilihat tidak mampu menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang didepani penjawat awam.
Malah Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata tiada sebarang komitmen yang diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup. – Astro Awani