Input your search keywords and press Enter.

Operasi 6 Stesen LRT Dihentikan Bermula Ahad

M Update, 31/03/2023 – Operasi perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) di enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dihentikan bermula Ahad ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan semalam, berkata pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Ianya adalah susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan semenjak 27 Januari 2023.

Bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang yang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan Bas Ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas LRT 11 sedia ada menurut kenyataan Rapid KL.

Laluan perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan jumlah bas sebanyak 40 buah dan kekerapan antara 10-15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Menurut kenyataan ini lagi, bermula 2 April ini juga, perkhidmatan bas LRT 9 (LRT Hang Tuah-LRT Bandaraya) dan bas LRT 10 (LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya) akan ditamatkan. Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang sudah disediakan.

Penguatkuasaan akan dijalankan pihak berkuasa bagi memastikan laluan bas ini tidak disalah guna kenderaan lain.

Para penumpang juga disaran menggunakan laluan rel alternatif, iaitu bagi yang menuju ke Hang Tuah boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.

Bagi penumpang yang mahu ke Chan Sow Lin pula boleh menaiki laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa. Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan maklumat terkini.

Katanya, anggota operasi rel, polis bantuan dan troopers akan ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.

Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan dihadapi penumpang. Kami berterima kasih dan menghargai kesabaran penumpang menurut kenyataan itu.