Input your search keywords and press Enter.

Sistem Kuota Melayu, Bumiputera Dalam Pendidikan Dikekalkan

M Update, 10/07/2023 – Sistem kuota Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika sistem kuota ini tidak dikekalkan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan atau ‘tempang’ jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu.

Walaupun demikian, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan, dan jika ada pelajar dari kalangan anak-anak bukan Melayu dan Bumiputera yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.

Anwar juga menegaskan sekiranya kerajaan mengambil tindakan mengetepikan dasar kuota itu, ia akan menimbulkan ketegangan dan akan dijadikan sebagai isu dalam politik oleh pihak tertentu.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek agar sistem itu dikekalkan, dan dalam masa sama membuka ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang baik agar mereka dibantu untuk melanjutkan pengajian.

“Program kuota ini saya setuju kekalkan, tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih,” katanya.