Input your search keywords and press Enter.

Rider Ducati Maut Tercampak: Lelaki Lawan Arus Mengaku OKU Mental

M Update, 10/07/2023 – Seorang lelaki yang menunggang motosikal melawan arus hingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati Panigale di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), diperintah oleh Mahkamah Majistret di sini, menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Amalina Basirah Md Top memerintahkan pemandu lori, Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menunggang motosikal dengan cara melawan arus yang merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, pada 1.10 tengah hari, 14 Jun lalu.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut peruntukan akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah, dan permohonan peguam untuk tertuduh menjalani ujian pskiatri, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata Annur.

Peguam Yayasan Bahagian Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail pula memohon jaminan rendah kerana tertuduh adalah OKU mental serta menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Fakta ini disahkan menerusi surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang.

“Ini membuktikan bahawa ketika kejadian tertuduh tidak dapat berfikir dengan waras menyebabkan berlakunya perlanggaran berlawanan,” katanya.

Menurut Izleen, tertuduh mengalami masalah itu kerana beliau kehilangan kerja sebagai pemandu kereta api sehingga menyebabkannya mengalami tekanan.

Akibat daripada kesempitan wang dan faktor ekonomi yang meruncing, tertuduh mengalami tekanan yang bertambah pada setiap hari kerana beliau hanya memandu lori yang berpendapatan RM2,200 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak, manakala isterinya tidak bekerja.

“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental,” kata Izleen.

Amalina Basirah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan kes.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, media melaporkan penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Dalam kejadian itu, mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 30 meter.

Selain itu, motosikal yang ditunggang mangsa juga terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.

Berikutan kemalangan itu, lelaki yang menunggang motosikal secara lawan arus menyebabkan kemalangan maut di SUKE tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu. – HM