M Update, 27/02/2024 – Semalam, CyberSecurity Malaysia (CSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CTM360 W.L.L, firma keselamatan siber terkemuka yang pakar dalam menguruskan ancaman merentas surface web, deep web dan dark web, untuk memerangi ancaman siber di Malaysia.
MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif CTM360 Mirza Asrar Baig dengan disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Mobile World Congress (MWC) 2024 di Fira Gran Via.
Kerjasama itu bertujuan mewujudkan kerangka kerjasama dalam keselamatan siber, mengukuhkan perkongsian strategik yang memberi tumpuan kepada kolaborasi jangka panjang, terutamanya dalam menggalakkan kerjasama awam – swasta.
Ia juga menggariskan komitmen bersama dalam memerangi musuh siber yang semakin berkembang dengan memanfaatkan kepakaran, sumber dan keupayaan inovatif kedua-dua organisasi.
MoU itu menetapkan objektif utama termasuk pertukaran maklumat keselamatan siber, menggalakkan kerjasama dua hala, perkongsian pengetahuan melalui penglibatan pakar, latihan bersama, seminar dan melaksanakan langkah yang saling menguntungkan.