Input your search keywords and press Enter.

Penyelesaian Sempadan Maritim Tidak Jejas Kedaulatan Negara

M Update, 19/03/2024 – Kerajaan memberi jaminan bahawa setiap keputusan dalam penyelesaian persempadanan maritim Malaysia dengan negara jiran yang dibuat dan dipersetujui, tidak akan menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Kerajaan tidak pernah dan tidak akan sama sekali mengambil ringan dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan isu kedaulatan negara.

Lngkah pemeteraian perjanjian persempadanan maritim hanya dipersetujui setelah mengambil kira elemen penyelesaian yang dicapai secara bersama dengan sesebuah negara berdasarkan prinsip pembatasan sempadan maritim dengan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh.

Bagi menyelesaikan isu persempadanan Malaysia yang tertunggak bersama negara-negara lain, kerajaan kekal komited melaksanakan rundingan untuk menghasilkan penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

Hal ini penting bagi memastikan kedaulatan negara dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara tersebut juga kekal terpelihara.

Setakat ini kerajaan telah menandatangani sembilan perjanjian persempadanan maritim dengan pelbagai negara jiran dan terbaharu dua triti persempadanan maritim bersama Indonesia berjaya dimeterai.

Ia melibatkan triti antara Malaysia dengan Indonesia yang berkaitan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka (Triti Selat Melaka) dan triti antara Malaysia dengan Indonesia yang berhubungan dengan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Laut Sulawesi (Triti Laut Sulawesi).