Input your search keywords and press Enter.

Sampai Bila Islam Akan Dihina???

M Update, 19/03/2024 – Selepas satu kes, muncul lagi kes penghinaan terhadap Islam di negara ini. Kelihatannya, jenayah penghinaan terhadap Islam di Malaysia tidak pernah padam. Amat bimbang jika ia menjadi normalisasi. Terbaru umat Islam diuji dengan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Sukar untuk menerima alasan apa yang berlaku itu disebabkan terlepas pandang, tidak tahu, tiada maklumat dan sebagainya, lalu mengemukakan permohonan maaf serta kesal dengan apa berlaku, sambil berharap orang Islam boleh ‘tutup buku’.

Bahkan, ada pula pihak, kumpulan dan parti memberi ‘nasihat’ kepada umum supaya jenayah penghinaan Islam ini tidak diperbesarkan, selain meminta menghentikan kempen boikot membeli barang di pasar raya berkenaan atas alasan tidak mahu negara menjadi mangsa.

Ia menunjukkan pihak berkenaan sebenarnya sedar dan gentar jika umat Islam melancarkan boikot sama ada secara senyap atau terang-terangan kerana terdapat bukti ada syarikat mengalami kerugian akibat diboikot kerana tidak menghormati sensitiviti orang Islam.

Dalam isu terbaharu ini, ia sepatutnya boleh dielakkan jika pengurusan syarikat kedai serbaneka terbabit cakna, peka dan sensitif terhadap produk hendak dijual. Agak janggal jika pihak pengurusan tidak sedar dengan ciri-ciri produk ditempah untuk dijual.

Maka, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit atas dakwaan cuai sehingga menimbulkan kegelisahan awam khasnya umat Islam, apatah lagi ia membabitkan kes penghinaan terhadap Islam yang diangkat sebagai agama Persekutuan.

Pihak penguatkuasa perlu menyiasat kes terbaharu ini mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dikenakan hukuman maksimum supaya menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mahu bermain dengan isu 3R (agama, raja dan kaum).

Apa yang menjadi persoalan, sudah lebih 60 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya sudah faham dan ‘masak’ sepenuhnya dengan cara hidup, sensitiviti agama antara kaum serta ‘apa yang boleh dan tidak boleh’ dibuat dalam negara masyarakat majmuk ini.

Dari sudut perundangan pula, apa yang berlaku ini menunjukkan tiada peruntukan jelas dan tegas terhadap pihak menghina agama Islam dalam Perlembagaan. Kesalahan menghina agama hanya boleh didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Undang-undang syariah pula hanya boleh menghukum, jika kesalahan itu dilakukan orang Islam yang menghina agama Islam sahaja, manakala bukan Islam terlepas. Justeru, undang-undang lebih tegas dan bersepadu perlu diwujudkan untuk menyekat jenayah penghinaan terhadap Islam dan agama lain daripada berlaku atau berulang demi menjamin keamanan serta kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan anutan agama.

Sumber : Berita Harian