M Update, 17/04/2024 – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Sehingga kini TDM masih belum menerima sebarang perkhabaran berkaitan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu walaupun sebelum ini kontraktor telah berjanji untuk membuat penghantaran pertama bulan ini.
“Kita amat-amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini tempoh penghantaran pun sudah terlewat, sepatutnya kita menerima pesawat pertama pada November tahun lepas”
“Sekarang, dah lebih lima bulan, masih tiada apa berita. Jadi, kita masih beri peluang hingga hujung bulan April, sekiranya masih tiada apa-apa perkhabaran, kita akan ambil tindakan susulan melalui Kementerian Pertahanan selaku pengurus kontrak” – Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan
Diharap agar kontraktor berkenaan dapat membuat penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat itu pada bulan ini.