M Update, 16/05/2024 – Seekor harimau belang jantan dengan berat dianggarkan 130 kilogram (kg) ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di KM50.8 arah Kuala Lumpur Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Lentang, Bentong, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya difahamkan harimau berkenaan dilanggar kereta jenis Proton Persona kira-kira jam 1.23 pagi tadi ketika cuba melintas lebuhraya terbabit.
Menurutnya, harimau berkenaan dianggarkan berumur empat tahun berdasarkan saiz tubuh dan tapak kaki haiwan berkenaan. Haiwan terbabit dipercayai menjadikan Hutan Simpan Bukit Tinggi sebagai habitat semulajadi.
“Selepas menerima aduan penemuan bangkai harimau belang itu, pegawai PERHILITAN segera ke lokasi untuk memastikan kebenaran aduan berkenaan seterusnya melakukan siasatan punca kemalangan itu.
“Bangkai harimau belang itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk tindakan lanjut. Siasatan punca kematian dan kecederaan yang dialami turut akan dilakukan,” katanya, dihubungi BH hari ini.
Beliau berkata, masih terdapat harimau belang mendiami Hutan Simpan Bukit Tinggi berhampiran lokasi kejadian. Kemalangan itu amat mendukakan berikutan bilangan harimau belang di negara ini yang semakin berkurangan. – Buletin Utama