Input your search keywords and press Enter.

Polis Siasat Resit Pesanan Pizza Pelanggan Hina Agama Islam

M Update, 16/06/2024 – Tular semalam mengenai gambar resit pizza pelanggan tertera ucapan yang menghina agama Islam. Kes berlaku di premis makanan segera di Bayan Lepas.

Polis telah membuka kertas siasatan mengenai dakwaan seorang pelanggan restoran makanan segera di Kenari Avenue, yang didakwa menghina Islam menerusi ayat yang ditulis pada pesanan dalam talian.

Gambar resit itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik di aplikasi X, malah menimbulkan salah faham apabila ia didakwa ditulis pekerja restoran berkenaan. Ramai yang salah faham pada awalnya, menyangka resit berkenaan dijana oleh cashier (juruwang) restoran.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, satu pesanan diterima pada 3.05 petang semalam menerusi aplikasi rangkaian restoran itu yang mempunyai perkataan menghina agama Islam di bahagian nota pesanan. Pihak polis telah menerima laporan berkaitan kes itu jam 8.46 malam tadi.

Susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihak polis juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.