Input your search keywords and press Enter.

Kronologi Serangan Balai Polis Ulu Tiram

M Update, 17/05/2024 – Siasatan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi yang mengorbankan dua anggota polis dan suspek mati ditembak, turut membabitkan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan pelajar lelaki berusia 22 tahun dan pelajar perempuan berumur 21 tahun itu ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan serangan terbabit.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut kaitan dengan serangan itu. Adalah tidak logik untuk melaporkan kes cabul dua tahun lalu pada jam 2.30 pagi.

“Ketika laporan sedang dibuat pula, tiba-tiba balai diserang. Jadi kita akan siasat dengan rapi dua pelajar berkenaan,” katanya yang turut memperincikan kronologi serangan jam 2.54 pagi berkenaan.

● 2.30 pagi: Dua pelajar IPT, lelaki dan perempuan hadir ke balai untuk membuat laporan polis mengenai kes cabul yang sudah berlaku dua tahun lalu.

● 2.35 pagi: Ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, suspek masuk ke kawasan balai dengan motosikal dan terus ke bahagian belakang balai.

● Seorang anggota polis pergi ke bahagian belakang balai untuk memeriksa, tetapi diserang dan ditetak mati oleh suspek. Suspek kemudian merampas senjata api anggota berkenaan.

● Dua anggota polis dimaklumkan mengenai serangan itu bergerak ke belakang balai memeriksa dan berlaku tembak menembak dengan suspek.

● 2.54 pagi: Seorang daripada anggota polis berkenaan maut terkena tembakan pada bahagian pipi yang tembus kepala. Seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek.

Razarudin mengesahkan suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI). Polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan.

“Di rumah suspek ada beberapa maklumat berkenaan kumpulan JI, selain banyak ayat al-Quran yang ditampal pada dinding. Susulan itu semua lima ahli keluarga suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun yang dipercayai anggota JI, termasuk bapanya berusia 62 tahun ditahan untuk siasatan”.

Susulan itu, Razarudin mengarahkan polis mengenal pasti anggota JI di negeri ini bagi siasatan lanjut. – Harian Metro